Wednesday, February 24, 2016

ZETI AKHTAR AZIZ TERAJUI BNM SEHINGGA APRIL 2016 SAHAJA.




Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Zeti Akhtar Aziz, mematahkan spekulasi yang beliau telah meletakkan jawatan, apabila beliau mengumumkan pada Khamis akan terus kekal menerajui bank pusat itu sehingga April 2016.

“Saya kekal sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia sehingga tempoh perkhidmatan saya tamat. Kontrak saya adalah selama lima tahun dan tempoh itu akan berakhir tahun depan.

Kemunculan Zeti pada Khamis, merupakan yang pertama setelah beberapa minggu ‘menyepi” apabila beliau dan beberapa agensi penguatkuasa menjadi perhatian berhubung siasatan melibatkan wang RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Najib Razak.

Khabar angin bertiup kencang di Malaysia menyatakan Zeti sedia untuk melepaskan jawatannya sebagai Gabenor bank itu. Malah BNM terpaksa mengeluarkan penafian apabila tersebar pula desas-desus mengatakan Zeti sedang menjalani rawatan sakit jantung di sebuah hospital.

“Saya tidak ada masalah kesihatan. Saya diberitahu doktor yang jantung saya masih kuat dengan arteri sangat bersih dan tidak menemui apa-apa masalah… Saya telah lakukan pemeriksaan kesihatan dan semuanya baik,” kata wanita berusia 68 tahun pada sidang media di Kuala Lumpur.

Zeti telah dilantik sebagai Gabenor BNM yang ke-tujuh dan merupakan wanita pertama dilantik ke jawatan itu pada 1 Mei 2000. Beliau turut dijulang sebagai Ketua Bank Pusat Terbaik di Dunia oleh majalah Global Finance pada 2010.

“Saya telah berada selama 16 tahun dengan BNM. Ia tempoh yang cukup lama. Saya telah lakukan apa yang saya inginkan untuk sektor kewangan. Bank Negara adalah sebuah institusi yang mantap dan saya mahu lihat ia meningkat ke tahap lebih tinggi,”

Belum buka mulut

Sejak siasatan itu, BNM belum pernah membuka mulut berhubung dakwaan skandal melibatkan Najib, dan juga ketika SPRM mendakwa deposit berbilion ringgit itu adalah daripada penderma di Timur Tengah.

Malah apabila beberapa pegawai kanan bank pusat itu ditahan polis untuk mendapatkan keterangan berhubung pembocoran dokumen yang membabitkan 1MDB dan syarikat-syarikat yang berkaitan dengannya, tiada sebarang kenyataan yang dikeluarkan sama ada dari Zeti atau BNM

Pada awal Julai lepas, dua media antarabangsa, The Wall Street Journal dan Sarawak Report, di dalam laporan mereka mendakwa penyiasatan yang dijalankan mendapati beratus-ratus juta ringgit telah dipindahkan ke akaun Najib melalui beberapa agensi kerajaan, bank dan syarikat yang dikaitkan dengan dana pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib menafikan mengambil sebarang wang untuk kepentingan peribadi dan berkata, dakwaan rasuah adalah sebahagian daripada kempen berniat jahat untuk memaksa beliau melepaskan jawatannya.

Perdana Menteri itu, secara mengejut turut menggugurkan timbalannya Muhyiddin Yassin dan merombak kabinet, serta menamatkan perkhidmatan Peguam Negara Abdul Gani Patail, yang sedang mengetuai siasatan terhadap syarikat 1MDB.

Beliau sebaliknya melantik Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalannya dan bekas hakim Mahkamah Persekutuan Mohamed Apandi Ali untuk mengantikan Abdul Gani.

Pasukan Khas yang disertai BNM, SPR, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Peguam Negara untuk menyiasat dakwaan itu turut dibubarkan.

Sah tujuh pegawai BNM

Pada persidangan media itu, Zeti turut mendedahkan yang tujuh pegawai BNM telah disoalsiasat oleh polis, tetapi enggan mengulas lanjut sambil mengakui semasa siasatan beliau tidak berada di dalam negara.

‘Ketujuh-tujuh pegawai itu telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada siasatan polis tetapi saya tidak akan mendedahkan siapa mereka - bila mereka disoalsiasat dan dari bahagian mana di BNM mereka bekerja. BNM akan terus memberi kerjasama kepada semua agensi penguatkuasa,” tambah beliau.

Dalam perkembangan yang sama, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar berkata, BNM telah memberi kuasa penuh kepada polis untuk menyiasat mana-mana pegawai bank pusat itu berhubung pembocoran maklumat perbankan 1MDB mengikut Akta Perkhidmatan Kewangan.

‘’Kebenaran itu diberikan sendiri oleh Zeti baru-baru ini, untuk menyiasat kes terbabit mengikut akta berkenaan kerana polis sebelum ini hanya menyiasat (pembocoran maklumat perbankan) mengikut Akta Jenayah Komputer 1997. Namun dengan kebenaran yang diberikan oleh Gabenor BNM, polis kini mempunyai akses untuk menyiasat mengikut Akta Perkhidmatan Kewangan,” jelasnya lagi.

Beliau berkata, beberapa pegawai bank komersial lain juga telah dipanggil untuk memberi keterangan.

Gabenor Bank Negara itu turut menjadi sasaran blog-blog yang tampil mengaitkan dakwaan rasuah terhadap beliau dan keluarganya serta berkomplot di dalam konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Najib.

Beliau berkata, BNM juga sedang mengenalpasti individu yang menyebarkan dakwaan bahawa beliau dan bank itu terlibat
di dalam usaha untuk menjatuhkan Perdana Menteri.

‘’BNM akan mengambil tindakan undang-undang terhadap dalang-dalang yang membuat dakwaan itu,’’ katanya.

Bukan bidang kuasa

Mengulas mengenai siasatan berhubung wang beratus-ratus juta yang dimasukan ke dalam akaun Perdana Menteri, Zeti berkata, isu tersebut bukan tanggungjawab siasatan BNM.

Siasatan keatas derma itu bukan dibawah bidang kuasa siasatan BNM, kami hanya melihat dari aspek pelanggaran undang-undang - dengan membantu agensi penyiasatan lain di dalam siasatan, katanya

Beliau turut menegaskan bahawa BNM tidak boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu, sebaliknya hanya boleh melaporkan sekiranya terdapat pemindahan wang yang mencurigakan.

Tambah Zeti, BNM juga dilarang untuk menyiasat mana-mana akaun dan ia terpulang kepada bank komersial untuk melaporkan kepada BNM jika mengesyaki adanya pemindahan wang yang mencurigakan,”.

Dalam pada itu beliau berkata, BNM telah mencadangkan beberapa tindakan di dalam kertas siasatan yang dibuat mengenai 1MDB yang diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara pada minggu ini.

Katanya, BNM juga telah melengkapkan siasatannya yang mengambil masa hampir dua bulan itu.

‘’Kertas siasatan telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara pada minggu ini dengan cadangan-cadangan penguatkuasaan undang-undang. Ia bagaimanapun, tidak boleh didedahkan kepada umum tetapi Bank Negara akan memberi keterangan sekiranya dipanggil oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen,” katanya.

Beliau berkata, memandangkan siasatan masih berjalan berhubung perkara itu, BNM terus berkongsi maklumat dengan semua agensi penyiasatan yang berkenaan.


Bagaimanapun, beliau menegaskan, BNM tidak boleh mengambil sebarang tindakan kerana BNM bukan agensi penguatkuasa.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Menjana Kawangan