KUALA LUMPUR: Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz
menafikan spekulasi bahawa beliau akan meletak jawatan.
Zeti pada sidang akhbar di Bank Negara tengah hari tadi
berkata beliau kekal memegang jawatan di bank pusat sehingga kontraknya tamat
tahun depan.
“Saya kekal sebagai Gabenor sehingga tempoh perkhidmatan
saya tamat. Kontrak saya adalah selama lima tahun dan tempoh itu akan berakhir
tahun depan,” kata Zeti.
Beliau dalam pada itu menafikan khabar angin bahawa beliau
mengalami masalah kesihatan.
“Saya tak ada masalah kesihatan, saya diberitahu doktor yang
jantung saya masih kuat. Saya telah lakukan pemeriksaan kesihatan dan semuanya
okey.”
Terdahulu, khabar angin menyebut bahawa Zeti telah mengalami
serangan jantung namun dinafikan pihak Jabatan Perhubungan Korporat BNM yang
mengesahkan beliau hadir ke pejabat seperti biasa dan berada dalam keadaan
sihat.
Pada majlis itu, Zeti turut ditanya sama ada akan
mengekalkan jawatan selepas tamat kontrak, namun beliau hanya berkata ingin
menulis sebuah buku tentang persaraannya.
“16 tahun ialah tempoh yang cukup lama. Saya telah lakukan
apa yang saya inginkan untuk sektor kewangan. Banyak lagi yang perlu dilakukan,
antaranya migrasi ke pembayaran elektronik.
“Bank Negara ialah sebuah institusi yang mantap dan saya
mahu lihat ia meningkat ke tahap lebih tinggi.”
Di majlis yang sama, Zeti turut mengumumkan Keluaran Dalam
Negara Kasar (KDNK) Malaysia tumbuh 4.9 peratus pada suku kedua 2015.
No comments:
Post a Comment